|
Hari Puisi Nasional atau Selangor
oleh Hassan Omar
Hari Puisi Nasional Ke-16 di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini, mengundang persoalan apakah program itu layak disebut sebagai Hari Puisi Nasional atau Hari Puisi Selangor?
Persoalan itu berlegar di kotak fikir sebahagian besar peserta program anjuran bersama Majlis Kebudayaan Negara Selangor, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Selangor serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena).
Apakah kemurahan hari Kerajaan Selangor membiayai sebahagian besar kos program itu secara tidak langsung memberi tiket kepada penganjur membariskan sebahagian besar penyair Selangor untuk mengisi slot program?
Lebih 300 peserta berhimpun di Pusat Peranginan dan Konvensyen Intekma, Shah Alam, yang menjadi lokasi utama program dan malam pembukaan diisi dengan deklamasi puisi beberapa penyair muda dan veteran tempatan.
Di samping penyair tempatan, peserta program turut berpeluang melihat aksi penyair Indonesia dari Acheh, Pekan Baru dan Jogjakarta yang diundang khas oleh Gapena bagi memeriahkan acara terbabit.
Peserta dari Melaka, Ali Bachik, menunjukkan kebolehannya bersyair pada malam terbabit, manakala penyair veteran dari Selangor, Ahmad Sarju, memilih pantun untuk dikongsi bersama khalayak.
Penyair yang juga Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Siti Zainon Ismail, menampilkan kelainan persembahannya selama ini apabila mendeklamasi puisi dengan iringan muzik gamelan oleh teman seperjuangan dari Jogjakarta.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Kebudayaan Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin, merasmikan program pada hari kedua manakala Timbalan Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Datuk Baharuddin Zainal, menyampaikan ucap utama.
Baharuddin yang lebih dikenali sebagai Baha Zain mengingatkan peserta pentingnya penyair bertindak sebagai pemikir, kaya dengan idea, imaginasi dan kreativiti serta bukan pemimpin yang bingung atau mengelamun.
Penyair turut diingatkan perlunya mereka berdialog dengan kebudayaan dan kehidupan sekelilingnya sama ada dengan mengemukakan hujah, mengkritik dan memberi pandangan atau bayangan dalam karya masing-masing.
?Puisi boleh menggugat perasaan dan perhatian. Bukan sekadar sedap dan manis bunyinya. Penyair perlu memastikan dirinya bebas, subjektif, dan bukan menjadi objek atau alat suara lain.
?Penyair juga perlu menginsafi tanggungjawabnya terhadap masyarakat, agama dan Tuhannya. Apakah dia seorang penjelajah untuk melanggar pemikiran lama bagi menemukan kemungkinan baru dalam kebudayaan bangsanya??? kata Baha.
Hari Puisi Nasional Ke-16 turut diisi dengan dua sesi pembentangan kertas kerja oleh Prof Siti Zainon, Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Wahab Ali dan penyair Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah.
Sesi kedua menampilkan mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Hamzah Hamdani, Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Lim Swee Tin dan Felo Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), UKM, Prof Madya Dr Noriah Muhammad.
Peserta turut berpeluang berdialog dengan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. A Samad Said, dan tiga penggiat puisi Melayu tradisional, Ahmad Usop dari Majlis Kebudayaan Melaka, Abdul Halim Salleh dari Kedah dan Ali Badrom dari Persatuan Penulis Johor.
Persoalan sama ada Hari Puisi Nasional sememangnya dikhususkan untuk penyair seluruh tanah air atau hanya untuk penyair Selangor mula berlegar pada sesi Pengucapan Puisi Nasional di Dataran Shah Alam pada malam kedua program.
SN Samad membuka tirai pengucapan dengan dua puisi dari kumpulan puisinya, Suara Dari Dinding Dewan dan tujuh dari 10 deklamator yang beraksi pada malam terbabit adalah penyair dari Selangor sehingga penyair dari negeri lain sekadar menjadi penonton.
Persembahan tarian tradisional dari Sumatera Utara, Acheh, nyanyian Tok Ki dan Safinas meredakan acara daripada dibolot penyair dari Selangor meskipun ada kalangan penyair dari luar yang turut geram kerana hanya penyair veteran ditampilkan sebagai deklamator.
Hari Puisi Nasional setiap dua tahun sekali adalah program untuk penyair seluruh tanah air dan meskipun kemurahan hati Kerajaan Selangor membiayai sebahagian besar kos pengendalian program dihargai tetapi janganlah sampai penyair dari negara lain merasa diketepikan!
|