|
Malas baca punca kurang buku ilmiah
KUALA LUMPUR - Tokoh-tokoh pendidik menyifatkan budaya masyarakat Malaysia yang malas membaca sebagai punca utama kurangnya buku-buku ilmiah di pasaran.
Selain itu, syarikat-syarikat penerbitan buku juga takut mengeluarkan buku ilmiah kerana ia tidak mendatangkan keuntungan besar.
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. DIraja Ungku Aziz berkata, penerbit bimbang untuk menerbitkan buku ilmiah kerana nilai pasarannya terlalu kecil.
Katanya, masyarakat Malaysia lebih berminat bahan bacaan berunsur hiburan.
"Masalah mentaliti masyarakat kita sendiri yang tidak menanam sifat suka membaca terutamanya bahan ilmiah dan kalau ada pun hanyalah untuk lulus peperiksaan menjadi punca utama," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh yang mengingatkan golongan pensyarah agar membantu memperbanyakkan hasil ilmiah dengan budaya membukukan hasil kajian mereka.
Pandangan Ungku Aziz itu disokong oleh bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Tan Sri Dr. Awang had Salleh.
Katanya, pasaran buku ilmiah negara ini terhad dan ini mengurangkan minat penerbit untuk melabur menghasilkan buku.
Menurut beliau lagi, buku-buku ilmiah selalunya dibeli oleh golongan pelajar institusi pengajian tinggi sahaja dan bukan oleh golongan masyarakat umum. |