Hubungi Kami | Maklum Balas| Soalan Lazim | Peta Laman | Bantuan | Mobil web | Intranet                                        Reset Latar Belakang Tukar Latar Belakang Tukar Latar Belakang Tukar Latar Belakang Font Kecil Font Pertengahan Font Besar Font Hitam Font Merah Font Biru Font Hijau Font Kuning Capaian Kurang Upaya (OKU) / Disability Access

Menjadi Peneraju Utama Pengembangan Bahasa dan Persuratan Melayu dalam Pembinaan Negara Bangsa                       | Melayu | English

  Selamat Datang Pelawat  

  Jumaat, 25hb April 2014  

JOHAN JAAFFAR
(Johan bin Jaafar, Datuk; Jaafar Khan, J.J., Lanang Sejagat)

LAHIR : 9 November 1953, di Sungai Balang Besar, Muar, Johor Darul Takzim.
ALAMAT : 44, Jalan 5/64, Bukit Gasing, 46000 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

SEJAK di bangku sekolah rendah, Johan telah melibatkan diri dalam bidang teater, iaitu pada sekitar tahun 1960-an dengan ikut serta dalam kegiatan sandiwara di kampung kelahirannya.  Dengan rela hati beliau menjalankan kerja-kerja seperti menarik tali tirai dan mencari bahan-bahan untuk latar pentas.  Apabila Johan belajar di sekolah menengah, beliau mula berlakon, menulis skrip dan mengarah drama untuk acara persembahan sekolah.  Ketika menuntut di universiti pula, Johan bergerak bersama-sama Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA).  Dari sinilah, Johan mula membina nama sebagai penggiat drama yang gigih dan berkemampuan.

Johan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Perserian, Semerah dari tahun 1960 hingga 1965.  Pada tahun 1966, beliau meneruskan persekolahan menengah aliran Inggeris di Semerah, hingga tahun 1970. Kemudian beliau menyambung pendidikan di Sekolah Tinggi Muar, hingga lulus Sijil Tinggi Persekolahan (1972-1973).  Pada tahun 1974, Johan memasuki Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1977.  Mulai Julai 1977, Johan bertugas sebagai Pegawai Penyelidik (Pegawai Perancang Bahasa) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Pada tahun 1988, beliau dilantik  mengetuai Bahagian Majalah sehingga tahun 1990 apabila beliau berpindah mengetuai Bahagian Penerbitan Am.  Semasa mengetuai bahagian tersebut, pada September 1991 Johan meninggalkan tanah air untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Nottingham, England dalam bidang Critical Theory.  Sekembalinya ke tanah air. Johan meletakkan jawatannya di DBP pada Oktober 1992 kerana mendapat tawaran bekerja dengan Syarikat Kumpulan Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang Kumpulan dan tidak lama kemudian dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut.

Kedudukan Johan Jaaffar agak unik dalam kesusasteraan Melayu moden Malaysia.  Tidak banyak sasterawan yang sebenarnya boleh hidup dengan selesa dalam “dua alam” – alam sastera/budaya dan alam pengurusan moden/korporat.  Beliau nampaknya berupaya menjadi “sasterawan” dan pada waktu yang sama mendaki tangga pengurusan moden.

Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang sebuah kumpulan akhbar yang sangat berpengaruh (Syarikat Utusan Melayu) dan menjadi salah seorang Ahli Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council) serta Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Multimedia (Multimedia Development Council).  Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah BERNAMA serta pengarah di beberapa buah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Empat tahun setelah beliau berkhidmat di DBP sebagai Pegawai Penyelidik (beliau mula bekerja pada tahun 1977), Johan menghasilkan cerpen “Potret Seorang Anu Sebagai Anu” (Dewan Sastera, Februari 1983).  Empat tahun selepas itu muncul pula novelet/drama/cerpen berjudul Pemain (1987).  Malah ramai orang mengatakan, kedua-dua buah karya itu merupakan separuh autobiografi sasterawan/pentadbir bernama Johan.  Apa yang dibayangkannya pada tahun 1983 dan 1987 itu menjadi kenyataan apabila Johan harus memilih untuk meneruskan kariernya sebagai pengurus atau menjadi sasterawan.  Johan memilih untuk mengimbangi kedua-duanya.

Tetapi bagi teman-temannya, Johan sebenarnya sudah memilih untuk menjadi pengurus/pentadbir.  Korbannya ialah pada karya-karyanya sendiri.  Maka itu Johan tidaklah seproduktif para penulis sezamannya.  Apabila beliau memimpin Syarikat Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang, tulisan beliau hanyalah dalam bentuk berita dan rencana.  Novel terakhir beliau ialah Laguku Untukmu (1979).  Cerpen yang terakhir ditulisnya lebih 15 tahun. Selepas “Pemain” (1985) beliau mengambil masa yang lama untuk menghasilkan drama terbarunya, “Asiah Samiah” (1999).

Dalam dunia kewartawanan – orang juga melihat dua Johan yang berbeza – tulisannya yang serius dalam halaman “Selayang Pandang” (pada mulanya menggunakan nama Lanang Sejagat dalam Mingguan Malaysia). Tulisan ringannya dalam halaman “Nota Kaki” (Utusan Malaysia) dan “Cambuk Wak Cantuk” (Mingguan Malaysia), atau tulisan mudahnya mengenai filem dalam majalah Hai keluaran Utusan Melayu.

Johan “terpisah” dari dunia sastera dalam mengejar kerjaya lainnya, tetapi beliau tidak sama sekali meninggalkan dunia itu.  Di Utusan Melayu, beliau menjadi penggerak dalam kegiatan teater dan puisi.  Satu unit kegiatan budaya telah diwujudkan bagi menjadi penggerak kegiatan berpuisi (Malam Puisi Utusan) serta mementaskan beberapa buah drama tahunan (antaranya “Lantai T. Pinkie” karya A. Samad Said dan “Anugerah” yang didasarkan daripada novel Zaharah Nawawi).

Dalam masa lima tahun setengah Johan memimpin teraju Syarikat Utusan Melayu, banyak aktiviti kebudayaan diadakan di syarikat itu.  Akhbar utama kumpulan itu – Utusan Malaysia, Utusan Melayu, Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman kembali menjadi tunggak kegiatan dan wadah budaya dan sastera.

Selain memulakan penerbitan majalah seperti Pemikir, Mangga, Kawan, Cerdas Pintar, Saji, Rias dan Hai, beliau juga telah cuba untuk menerbitkan majalah sastera berjudul Karya.  Majalah ini mahu dijadikannya versi popular Dewan Sastera.  Majalah ini bagaimanapun ditutup ekoran kegawatan ekonomi yang turut menjejaskan prestasi Syarikat Utusan Melayu pada tahun 1998.  Johan juga memberi nafas dan wajah baru pada majalah-majalah yang sedia ada iaitu Mastika, Wanita dan Al-Islam.

Apabila beliau meletakkan jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan pada 14 Julai 1998, perkara pertama yang beliau lakukan ialah menulis sebuah drama pentas – “Asiah Samiah” – setelah lebih 14 tahun tidak berbuat demikian.

Begitulah dunia Johan – terjebak antara dunia pengurusan moden dengan kecintaannya terhadap sastera.  Di DBP, bersama Badan Budaya DBP, beliau telah mengarahkan sekian banyak drama, antaranya “Mayat” (karya Hatta Azad Khan), “Hari-hari Terakhir Seorang Seniman” (adaptasi sendiri daripada novel Anwar Ridhwan), “Salina” (daripada novel A. Samad Said) dan “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (daripada cerpen A. Samad Ismail).  Beliau pernah menerima Anugerah Khas Hadiah Karya Sastera kerana adaptasinya untuk novel Anwar Ridhwan itu pada tahun 1984/85.  Johan juga telah membukukan adaptasi yang dibuat ke atas novel Langit Petang karya A. Samad Said.

Penglibatan Johan dalam drama/teater bermula dari bangku sekolah lagi.  Dunia bangsawan menyedarkannya pada keajaiban pentas.  Beliau mula aktif dalam Kumpulan Sandiwara Kampung.  Beliau menulis skrip berdasarkan kisah-kisah dalam kitab Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta lagenda dari Jawa.  Beliau juga mencuba mengarah drama/teater pada usia yang sangat muda.

Di kampus Universiti Malaya, beliau mula mengukir nama melalui Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA) apabila beliau mementaskan “Kotaku Oh Kotaku” di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya pada tahun 1975.  Selepas itu beliau mengarahkan pula “Angin Kering” (1976).  Sempena Pesta Teater Universiti Malaya pada tahun 1979, beliau telah diamanahkan untuk mengarahkan “Si Bongkok Tanjung Puteri”  karya Shaharom Husain.

Dari kampus lagi beliau mula mendampingi Kumpulan Anak Alam.  Malah kemasukan Johan dalam Anak Alam telah mengubah lanskap kegiatan Anak Alam sendiri.  Anak Alam yang bermula sebagai grup yang dianggotai oleh para penyair dan pelukis mula mendampingi teater.  Johan sendiri menganggap pengalamannya dalam Anak Alam cukup istimewa dan bermakna.  Malah dua tulisannya mengenai grup itu cukup menginsafkan, bagaimana grup yang luar biasa menemui kuburnya ekoran kekarutan birokrasi dan kesombongan anggotanya.  (Lihat dua tulisan beliau mengenai grup ini dalam “Sebuah Fenomena Bernama Anak Alam” Utusan Malaysia, 10 Mac 1997 dan “Anak Alam Bahagian Kedua: Episod Sedih” Utusan Malaysia, 7 April 1997).

Satu lagi bidang kegilaan Johan ialah filem: “Saya menonton lebih 200 buah filem setahun”, dakwanya dalam satu wawancara.  Semuanya bermula di “Panggung Kandar” di pekan Semerah, tempat Johan belajar sehingga tingkatan lima.  Dalam tulisan beliau, “Mencari Cinema Paradiso” (Hai, 4 Ogos 1996), beliau menulis bagaimana filem arahan Giuseppe Tomatore berjudul “Cinema Paradiso” itu begitu mengesankan kerana “ia menceritakan tentang diri penggila filem seperti saya.  Ia mengingatkan saya pada filem-filem yang saya tonton di sebuah panggung buruk di sebuah pekan yang bernama Semerah…”

Bermula dari panggung yang dimiliki oleh seorang pengusaha bernama Wak Kandar itulah Johan mengenal dan mencintai dunia filem.  Beliau kemudiannya banyak menulis kritik filem dalam Dewan Budaya dan majalah Era.  Apabila beliau mengasaskan penerbitan Hai pada pertengahan tahun 1996, beliau memulakan ruangan “Sembang Filem”.

Beliau turut menulis novel, antaranya Warna Tinta, Genta Rasa dan Laguku Untukmu,  manakala satu-satunya kumpulan cerpen beliau ialah Pelarian Sang Hero.  Johan sebenarnya bermula sebagai penulis novel kanak-kanak dan telah menghasilkan Api di Tanah Perkuburan, Misteri Pulau Batu dan Tangan-tangan Kaku.  Beliau sendiri mengakui bahawa kekuatan beliau ialah dalam bidang drama.

Johan juga harus dinilai sebagai wartawan.  Beliau terbabit dalam dunia kewartawanan apabila beliau mula diberi tugas memimpin majalah Dewan Siswa di DBP.  Majalah itu telah diberi rupa baru dan menjadi majalah ilmu untuk pelajar yang sangat popular.  Pada tahun 1988, beliau menjadi Ketua Bahagian Majalah DBP yang bertanggungjawab ke atas majalah Dewan Bahasa (kemudian menjadi Jurnal Bahasa), Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, selain Dewan Siswa.  Di bawah pimpinan beliau, Dewan Masyarakat buat pertama kalinya mencecah edaran melebihi 100,000 naskhah sebulan.  Begitu juga Dewan Pelajar dan Dewan Siswa.

Malah beliau meluaskan dimensi majalah itu apabila beliau menekankan unsur laporan penyiasatan dan laporan lapangan.  Dewan Masyarakat yang membawa slogan “Berita, Maklumat, Ilmu” telah berjaya menarik perhatian pembaca.  Malah Johan sendiri menunjukkan cara bagaimana majalah itu harus mendekati isu semasa dengan terbabit sendiri membuat liputan di Afghanistan sewaktu kemuncak perjuangan mujahidin membebaskan diri dari rejim boneka Rusia pada tahun 1989.

Maka itu, apabila beliau dilantik sebagai Ketua Pengarang Utusan Melayu pada bulan November 1992, pelantikan itu tidak seharusnya memeranjatkan beberapa pihak.  Namun banyak pihak mengatakan bahawa Johan ialah “orang luar” yang dibawa masuk ke Utusan Melayu.  Memang beliau bukan berasal dari Utusan Melayu.  Tetapi sebagai wartawan, penglibatan Johan sudah bermula pada tahun 1979 apabila beliau menjadi Sidang Pengarang Dewan Budaya di DBP.

Di Utusan Melayu, Johan telah memberikan wajah dan digniti baru pada penerbitan di bawah kelolaannya.  Johan percaya bahawa Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ketika itu dilihat sebagai akhbar yang sememangnya berpengaruh tetapi terasa kurang inti ilmu dan teras budayanya.  Johan mahu kedua-dua buah akhbar itu menjadi lebih serius tanpa perlu mengorbankan kekuatan tradisinya.  Kedua-duanya harus terus “laku” di kalangan pembaca tradisinya dan pada waktu yang sama menarik pembaca baru yang lebih sofistikated dan dahaga ilmu.

Oleh sebab itu Johan tidak mahu mengusik “formula kejayaan” Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia selama ini.  Apa yang dimahukannya ialah memberikan suntikan intelektual pada kedua-dua penerbitan itu.  Buktinya ialah Mingguan Malaysia kekal sebagai akhbar mingguan paling laris.  Utusan Malaysia telah tewas dari segi edaran dengan akhbar saingannya mulai tahun 1988.  Tetapi pada tahun 1998, Utusan Malaysia menjadi akhbar harian berbahasa Melayu paling laris di negara ini.

Karier Johan memimpin Utusan Melayu tidak lama – lima setengah tahun – malah yang paling singkat berbanding dengan yang lain.  Namun tahun 1992 hingga 1998 menyaksikan pelbagai peristiwa unik dalam sejarah negara ini.  Beliau selalu mengambil pendekatan yang filosofikal mengenai legasinya di Utusan Melayu.  “Saya tidak pernah meminta jawatan itu (Ketua Pengarang) dan saya tahu bila saya harus pergi.”

Walau apapun pencapaian beliau dalam karier korporat dan kewartawanan, kecintaannya tetap kepada sastera dan budaya.  Malah Johan selalu mendakwa bahawa dunia teater mengajarnya untuk membina kekuatan dalam bidang pengurusan moden.  “Kalau saya boleh membentuk 15 manusia “luar biasa” di pentas, tidak ada sebab saya tidak boleh menguruskan 1000 manusia normal dalam sesebuah organisasi.”

Oleh kerana pembabitan beliau dalam dunia kesusasteraan, beliau pernah menjadi Anggota Panel Hadiah Karya Sastera (Bahagian Drama), selain menjadi anggota panel pelbagai sayembara seperti drama yang dianjurkan oleh ESSO-GAPENA, DBP serta Anggota Panel Peraduan Menulis Cerpen Shell-New Straits Times (1988-1990).

Cerpen Johan yang berjudul “Sang Politikus” telah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001 dan Hadiah Sastera Perdana 2000/2001.

Johan telah dianugerahi Pingat Setia Mahkota Selangor pada tahun 1994, Pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) pada tahun 1995 dan pada tahun 1997 dianugerahkan Pingat Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Datuk.

KARYA
Drama
- Angin Kering.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
- Sang Puteri.  Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise Sdn. Bhd., 1982.
- Asy Syura.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.
- Pemain.  Ampang Jaya: Oen Industries, 1987.
- Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
- Langit Petang: 12 Tahun Kemudian.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991.
Drama Remaja
- Arah ke Mana.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984.
- Hujan Malam (peny. bersama Hashim Awang).  Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986.
Novel
- Warna Tinta.  Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Sdn. Bhd., 1976.
- Genta Rasa.  Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1977.
- Laguku Untukmu.  Kuala Lumpur: Rahman Mat Media, 1979.
Novel Kanak-kanak
- Api di Tanah Perkuburan.  Singapura: Pustaka Nasional, 1973.
- Misteri Pulau Batu.  Singapura: Pustaka Nasional, 1974.
- Tangan-tangan Kaku.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Pertama, 1987.
Cerpen
- Pelarian Sang Hero.  Kuala Lumpur: Eastern Universities Press (M) Sdn. Bhd., 1980.
Kajian
- Sejarah Kesusasteraan Melayu (bersama Safian Hussain et. al.) (Jilid I).  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
- Pengenalan Kritikan Sastera, M. (peny. bersama Hamdan Yahya dan Shamsudin Jaafar). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983.

 

 
Dikemaskini pada 25 Nov 2008
: 4494683
 
Cetak versi format pencetak untuk halaman ini  Cetak halaman ini  E-Mel halaman ini kepada kawan  E-mel halaman Ini
Aduan Pelanggan
  Carian Laman
  Kategori Ruang Untuk:

Karyawan
Guru Pelajar
Swasta
Orang Awam
Pihak Berkuasa Tempatan
Warga DBP

  Muat Turun Dokumen

Borang
Brosur
Buku
Poster

  Majalah
  Prestasi Perkhidmatan Dalam Talian

Piagam Pelanggan
Bilangan Transaksi Perkhidmatan Dalam Talian

  Perkhidmatan Dalam Talian
 e-Perkhidmatan
e-Komuniti
 e-Karya
  e-Penerbitan
 e-Penyelidikan
  Surat Berita

Jika anda ingin menerima surat berita kami, sila taip e-mel anda di bawah.

Batal Langganan




 Kaji Selidik

 

tahap perkhidmatan yang disediakan oleh Laman DBP?

 

Sangat Memuaskan

Memuaskan

Tidak Memuaskan

Sangat Tidak Memuaskan

 

Lihat Bancian Lepas




Jumlah Capaian
  11780302117803021178030211780302117803021178030211780302117803021178030211780302 
Hari Ini 4
Semalam 1751
Minggu Ini 6627
Minggu Lepas 7256
Bulan Ini 29251
Bulan Lepas 34779
Semua 11780302

(Mulai Jun 2005)

Alamat:

Dewan Bahasa dan Pustaka,
Jalan Dewan Bahasa ,
50460 Kuala Lumpur.

Telefon 03-2147 9000, 9001, 9002, 9003, 9004, 9006, 9007
Faksimile: 03-2147 9619 (Umum)
03-2147 9110(Pengembangan Bahasa dan Sastera)
03-2147 9645 (Pembinaan Bahasa dan Sastera)
03-2147 9623 (Penerbitan)
Pertanyaan: Khidmat Nasihat DBP

Telefon Pantas:

 

Direktori:

 

Telefon dan E-mel Staf DBP

    Khas bagi pengguna
QR Code
qrcode 
  Facebook DBP  Facebook PRPM  Twitter DBP Twitter    Facebook PUSPANITA DBP  RSS DBP Suapan RSS  Web TV DBP  Mobil web DBP

Laman Rasmi Kerajaan Malaysia Multimedia Super Corridor Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia Jabatan Perkhidmatan Awam Kementerian Pelajaran Malaysia Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan
       ..                 

Dasar Privasi |Dasar Keselamatan| Notis | Hak cipta | Pasukan Web | W3C

Penggunaan laman web rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka tertakluk kepada
Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam
Paparan terbaik Internet Explorer 8.0 ke atas atau Google Chrome, resolusi 1024 x 768 pixel.


Tarikh akhir kemas kini: 22/04/2014