Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak ditubuhkan pada tahun 1956 berperanan dan bertanggungjawab untuk mengembangkan, memasyarakatkan dan memartabatkan kesusasteraan Melayu. Bagi merealisasikan hasrat dan tanggungjawab tersebut, pelbagai kegiatan dan penyelidikan telah dilaksanakan terutamanya dalam usaha menerbitkan karya dari pelbagai sumber rujukan sastera yang berkualiti bagi mencapai kehendak pelanggan ataupun masyarakat. Selain itu, demi menghargai sumbangan golongan penulis yang beriltizam berkarya dan memperlihatkan kreativiti yang tinggi dalam memperkaya khazanah kesusasteraan Melayu, DBP berusaha mendokumentasikan biografi ringkas penulis dalam portal Biografi Penulis: e-Wajah Penulis Malaysia agar usaha gigih mereka terakam dan didokumentasikan untuk rujukan masyarakat pelbagai peringkat. Pengumpulan Biografi Penulis: e-Wajah Penulis Malaysia ini juga akan menjadi penanda aras kepada perkembangan kesusasteraan kebangsaan pada peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa dan sekali gus akan menjadi rujukan kepada pengkaji dan masyarakat.
Untuk makluman, pelantar Biografi Penulis: e-Wajah masih pada peringkat awal pengumpulan dan perbahanan. Oleh itu, sebagai pelantar rujukan dan panduan tentang maklumat penulis, pihak kami akan mengemas kini data dan bahan dari semasa ke semasa.
Sehubungan dengan itu, sebarang maklumat dan pandangan berkenaan Biografi Penulis: e-Wajah, boleh hubungi kami melalui:
Bahagian Penyelidikan Sastera
Jabatan Dasar dan Penyelidikan
Aras 21, Menara DBP,
Dewan Bahasa dan Pustaka,
Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur.
No. tel petugas : 0321472445/0321479233
e-mel : penyelidikansastera@dbp.gov.my
